Tuesday, July 18, 2006

Persada budaya : Bunga Telur ~ Mana bunga? Mana telurnya?


Pemberian bunga telur kepada tetamu adalah satu budaya Melayu yang masih kekal diamalkan hingga ke hari ini.

Tujuan sebenar adanya bunga telur ialah untuk menjadi tandahati atau cenderamata kepada tetamu yang hadir untuk sesuatu majlis. Bunga telur selalunya diberikan sebagai penghargaan tuan rumah terhadap tetamu yang telah sudi hadir, tidak kiralah Majlis Pertunangan, Persandingan, Pernikahan, Berkhatan atau sebagainya.

Dewasa ini, bunga telur telah pun bertukar corak dan penampilannya. Walaupun masih ada lagi tuan rumah yang memberi telur rebus dan bunga di dalam gelas atau dibungkus dengan saputangan, sudah ramai yang telah pun memberikan bunga telur yang tidak langsung ada bunga atau telur.

Kini, sebagai tandahati, tuan rumah memberikan tuala, coklat, gula-gula dan bermacam-macam lagi. Ada yang berikan bedak, kipas, bakul perhiasan mini dan juga lilin. Ada juga yang memberikan kristal. Sebenarnya, tuan rumah mengambil jalan mudah membeli bunga telur yang sudah pun siap dibungkus ataupun bunga telur yang tidak meremehkan. Cuma, apakah ada nilai-nilai tradisi yang terkorban?

Apakah ini bermakna amalan budaya Melayu terhakis dengan berubahnya amalan memberikan bunga telur yang asli kepada tetamu? Pada pandangan saya, tidaklah amalan itu terhakis kerana mungkin hanya pada zahirnya rupanya berbeza tetapi `essence'nya atau intipati atau tujuan memberi bunga telur tetap tercapai iaitu tuan rumah merakamkan rasa penghargaan kepada tetamu yang hadir. Kalau amalan yang baru ini menjimatkan masa, bukankah ianya baik?

Bayangkan berapa banyak ayam yang perlu bertelur untuk majlis pernikahan dan persandingan penyanyi pujaan ramai Siti Nurhaliza nanti? Jemputannya saja hampir 2000 orang. Ini belum lagi termasuk peminatnya yang beribu-ribu tu. Hai pengsan ayam-ayam tu kena bertelur beribu-ribu... Lantas pemilihan bunga telur yang ringkas tentu lebih memudahkan tuan rumah.

Yang penting, dengan bunga telur yang berubah penampilan, masa akan dapat dijimatkan (tak payahlah kita nak merebus telur ayam berkawah-kawah kan?), ianya ringkas dan mungkin tuan rumah dapat memilih bunga telur yang lebih bersesuaian dengan bajet mereka.

6 Comments:

Blogger yuRa said...

saya ingin tahu apa maksud(significance) bunga dan telur it sendiri sebagai cenderahati. pasti ada cerita di sebaliknya.

ataukah mungkin ia adalah sesuatu yang paling mudah/murah untuk dijadikan tandamata pada zaman dulu?

bila ia sudah menjadi sesuatu yang lazim diberikan pihak tuan rumah kepada para tetamu, 'bunga telur' kemudian dijadikan kata ganti bagi tandamata (seperti 'colgate' yang sering kita gantikan untuk memaksudkan 'ubat gigi').

dengan peralihan masa, walaupun cenderahati tadi sudah pun berubah bentuk, ia masih tetap lagi disebut 'bunga telur'.

namun, pada masa sekarang sudah ramai orang yang menyebutnya sebagai 'berkat'. tapi kamus dewan tidak pula menyenaraikan 'tandahati/cenderamata' dll sebagai erti 'berkat'. :p

panjang lebar! saya ni pandai-pandai saja membuat andaian. haha

wallahu a'lam

Wed Jul 19, 11:35:00 AM  
Blogger melayudilondon said...

ah teringat 'bunga telur' pernikahan saya merupakan satu botol unik yang diisi dengan minyak zaitun bersama cili kering dan bawang putih. lalu dihias dengan reben dan nama jemputan yang hadir.

tapi 'jemputan' saya 10 orang je, boleh sempat buat. hehehehe

Wed Jul 19, 06:55:00 PM  
Blogger yuRa said...

waaah.. kalau pun botolnya tak unik, isinya saja sudah cukup menarik sriperwira! :)

Wed Jul 19, 09:51:00 PM  
Blogger Nani said...

Cerita di sebalik bunga telur? Nak kena tanya mak saya.

Memang betul, sekarang ramai pula yang gunakan kekata `berkat'. Siapa yang kasi berkat pada siapa ye? Mungkin , sebagai tanda terima kasih dan iringan doa dari tuan rumah kepada tetamu. (Panjang lebar sebab awak berfikir...cewahhh)

Sriperwira...rajin awak buat `bunga telur' sendiri... Tapi kalau Siti Nurhaliza tu nak buat sendiri untuk jemputannya yang lebih dari 2000 orang tu, hai tak ke tercabut tangan orang tu...heh heh

Thu Jul 20, 07:43:00 AM  
Blogger melayudilondon said...

Mungkin 'berkat' berasal daripada 'ambil berkat pengantin'? jangankan cakap 2000 bunga telur, kalau nak bikin 100 saja, dah terkial-kial

Thu Jul 20, 11:15:00 AM  
Blogger yuRa said...

saya terfikir begitu juga sriperwira.

seperti yang dikatakan amalia, siapa yang ambil berkat siapa?

lagi pula kalau bunga telur diberi di majlis khatan, ambil berkat apa pula ya? :p

Sun Jul 23, 12:21:00 PM  

Post a Comment

<< Home