Thursday, July 27, 2006

Persada Sastera : Kesementaraan

Aku suka dengan sajak yang penuh makna ini, yang aku baca di BM Ahad lalu.

Sungguh bermakna.
Sungguh indah.
Sungguh benar.

Aku ingin merakamkan karya Ridhwan Anwar ini di dalam blogku untuk dijadikan peringatan dari semasa ke semasa. Bacalah dengan mata hati.




Kesementaraan

Maknakanlah kesementaraan ini
setiap detik, setiap saat, setiap nafas
kerana masa bukan milik kita.
Maknakanlah kesementaraan ini
pada setiap usaha, setiap doa
kerana esok bukan kerja kita.

Maknakanlah kesementaraan ini
kerana begitulah hakikatnya
s e m e n t a r a.

Maknakanlah kesementaraan
yang menuju keabadian
bukan pusara
yang membungkus jasad
rumah terakhir yang bukan terakhir

Maknakanlah kesementaraan ini
transit kehidupan
menuju kehidupan hakiki.

Maknalah kesementaraan ini
memaknalah.

karya Ridhwan Anwar

Friday, July 21, 2006

Perlu ada lebih bahan-bahan Melayu yang menarik untuk kanak-kanak.


Saya harap Perpustakaan Kebangsaan Singapura khasnya dan masyarakat Melayu umumnya dapat mempertimbangkan saranan dan pandangan berikut.

1) Perlu di arkibkan lagu-lagu Melayu untuk kanak-kanak seperti Enjit-enjit Semut, Potong bebek angsa, Satu-satu aku sayang ibu dan banyak lagi supaya lagu-lagu itu tidak pupus terus. Kemudian, perlulah lagu-lagu ini dimudahkan untuk masyarakat mendapatinya. Mungkin, bahan-bahan ini boleh dimuat-naikkan ke lelaman NLB supaya mudah ibu-bapa dan pendidik mendapatkannya dan menggunakannya untuk pembelajaran bahasa Melayu itu sendiri. Pihak perpustakaan juga boleh berganding dengan Warna atau Suria misalnya untuk merakam semula lagu-lagu Melayu untuk kanak-kanak dalam bentuk cakera padat dan kemudian dijual kepada masyarakat. Buat masa ini, di Singapura, sangat sukar untuk mendapatkan lagu-lagu Melayu kanak-kanak.

Bayangkan, anak-anak kita tahu `Nursery Rhymes' dalam bahasa Inggeris tapi tak tahu lagu-lagu seperti Enjit-enjit semut dan sebagainya. Menerusi lagu-lagu ini, mereka dengan tidak secara langsung mengenal lebih banyak perkataan-perkataan Melayu dan mereka juga dapat menyingkap dan mengenali budaya Melayu itu sendiri.

2)Perlu juga ada buku-buku elektronik dalam bahasa Melayu yang dimuat-naikkan ke lelaman NLB. Buat masa sekarang banyak buku-buku elektronik terdapat di lelaman tersebut, tetapi dalam bahasa Inggeris. Usaha perlu di ikhtiarkan agar buku-buku Melayu yang sedia ada terutama yang bergambar, di bubuh animasi, bunyi dan musik serta suara pencerita untuk melahirkan buku elektronik yang seronok untuk di baca oleh anak-anak kita.

Kita harus menggunakan teknologi sebagai salah satu wadah untuk menyemarakkan lagi pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu. Saya sarankan juga agar wang yang telah diperuntukkan dari pemerintah untuk melestarikan bahasa Melayu dapat digunakan untuk usaha-usaha seperti yang tersebut.

Bahan-bahan untuk kanak-kanak perlu dititik-beratkan dan tak patut diremehkan kerana tahap usia 0-6 tahun adalah masa yang terbaik untuk menanamkan asas yang kukuh dalam apa bidang sekalipun, seperti yang terbukti menerusi kajian-kajian tentang penggunaan otak secara maksima.

Thursday, July 20, 2006

Menghayati bahasa dalam lagu II - Mohon pada Nya, Sujud pada Nya

Mohon pada Nya, Sujud pada Nya



Duhai insan yang mulia
Ingatlah kepadaNya
Yang telah memberimu
Nikmat di dunia

Apakah engkau sedar
PemberianNya itu
Penuh mengandung makna
Tidak terkira

Andainya kau mengerti
Bersyukurlah kau sayang
Kerana hidup ini sekelip mata

Berubahlah semua seperti kehendakNya
Cuma amalan soleh melindungimu

Ingatlah rakan ingatlah sayang
Kudratnya Tuhan Maha Segala
Sucikanlah jiwamu
Dengan amal dan taqwa
Tanpa rasa curiga
KepadaNya jua

Tuhan Pengasih
Tuhan Penyayang
Mohonlah kepadaNya 2x
Sujud padaNya.

Catatan : Rata-rata, hampir semua lagu-lagu nasyid berunsur nasihat. Tidak terkecuali lagu di atas yang asalnya dinyanyikan oleh Al-Jawaher. Untuk videoklip di atas, Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar, Waheedah dan Ezzlyn berganding suara menyampaikan lagu yang penuh makna ini. Lagu ini tak perlu lagi diulas sebab ianya jelas dan terang mengajak pendengar kepada kebaikan. Hayatilah senikata lagu ini.

(Saya cuba cari nama penulis lirik lagu ini, tapi tak berjaya. Kalau sesiapa yang tahu, sila beritahu saya, ye?)

Menghayati bahasa dalam lagu - M.Nasir


Menghayati Bahasa Dalam Lagu - M. Nasir
petikan BERNAMA 18 Mac 2006
Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Bagi komposer, penulis lirik dan penyanyi, M. Nasir tugas menggubah dan menulis lirik lagu bukan sekadar untuk menghasilkan sebuah lagu yang merdu tetapi turut bersangkut-paut dengan perkembangan budaya dan bahasa, terutamanya bahasa Melayu.

Pada pandangannya, pemilihan bahasa yang terkandung dalam bait-bait lirik itu akan memberikan kesan tersendiri kepada pendengar berdasarkan pertimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka terhadap seni dalam lagu.

Komposer yang digelar "sifu" dalam industri muzik tempatan itu juga mengakui bahawa kedudukan bahasa Melayu berada dalam dilema ekoran wujudnya jurang di antara generasi dahulu dan sekarang, yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

"Soal bahasa itu saya lihat berada dalam peringkat persimpangan jadi kita perlu usaha untuk merapatkan jurang itu. Dalam lagu umpamanya yang mempunyai berbagai-bagai pemikiran kerana ia ada bersangkut-paut dengan perubahan masa," katanya dalam temubual dengan Bernama di sini.

Beliau diminta mengulas tentang nilai budi bahasa dalam lagu ekoran isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kembali mendapat perhatian segenap lapisan masyarakat di Malaysia termasuk pemimpin negara dan parti politik.

Isu bahasa Melayu mendapat perhatian media selepas Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyuarakan kebimbangan beliau terhadap kedudukan bahasa kebangsaan itu, ekoran sebab-sebab tertentu, sambil bertegas kerajaan akan melindunginya sekalipun terpaksa meminda akta-akta berkenaan.

Pakar bahasa menyifatkan penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dan terbuka di kalangan masyarakat, kurang keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu dan penggunaan "bahasa rojak" menyumbang kepada hakisan bahasa itu.

M. Nasir berkata penggubah dan penulis lirik lagu seharusnya mempunyai sikap bertanggungjawab ke atas setiap hasil karya yang mereka hasilkan kerana ia bukan sekadar untuk menghiburkan pendengar.

Bagaimanapun, pendekatan yang mungkin digunakan bergantung kepada pemilihan dan citarasa masing-masing sama ada menggunakan directness ataupun secara tersirat menggunakan bahasa puitis, katanya.

"Pendekatan orang seni itu (dalam menyampaikan lagu) kadang-kadang terlalu halus untuk difahami oleh masyarakat. Kadang-kadang dia pukul jauh ataupun tepat, bergantung kepada aliran (genre muzik) masing-masing.

"Penggunaan bahasa (dalam lagu) bergantung kepada pengetahuan masing-masing dan peringkat masyarakat yang mendengar. Dia mesti belajar mengenali seni bahasa untuk menyampaikan secara yang terbaik kepada pendengar," jelasnya.

Bahasa dalam lagu pernah dibangkitkan apabila kemenangan lagu "Gemilang" nyanyian Jaclyn Victor dalam Anugerah Juara Lagu Ke-20 dipersoalkan berdasarkan liriknya yang tidak puitis berbanding "Awan Yang Terpilu" nyanyian Ning Baizura.

Mengenai lagu "Lagu Cinta Lagu Jiwa" yang digubah oleh beliau yang sering dimainkan stesen radio tempatan setiap hari, M. Nasir berkata lagu itu mempunyai keistimewaan tersendiri seperti kekuatan dan kekemasan liriknya yang ditulis oleh Loloq.

"Lagu itu seolah-olah 'main-main' gitu tetapi sebenarnya ada keseriusan dari segi pengaturan bahasa, penyampaian dan isi lagu itu. Tetapi tidak semua orang akan menganuti aliran lagu itu," katanya yang dijangka menemui peminatnya dengan album baru pada awal April depan.

Penggunaan bahasa Melayu persis dalam lagu itu sejajar dengan cadangan ahli akademik dan ahli puisi tersohor, Dr Lim Swee Tin bahawa setiap pengguna bahasa harus menganggap diri mereka sebagai pejuang bahasa yang akan memastikan penggunaan bahasa Melayu yang menyeluruh.

Tuesday, July 18, 2006

Persada budaya : Bunga Telur ~ Mana bunga? Mana telurnya?


Pemberian bunga telur kepada tetamu adalah satu budaya Melayu yang masih kekal diamalkan hingga ke hari ini.

Tujuan sebenar adanya bunga telur ialah untuk menjadi tandahati atau cenderamata kepada tetamu yang hadir untuk sesuatu majlis. Bunga telur selalunya diberikan sebagai penghargaan tuan rumah terhadap tetamu yang telah sudi hadir, tidak kiralah Majlis Pertunangan, Persandingan, Pernikahan, Berkhatan atau sebagainya.

Dewasa ini, bunga telur telah pun bertukar corak dan penampilannya. Walaupun masih ada lagi tuan rumah yang memberi telur rebus dan bunga di dalam gelas atau dibungkus dengan saputangan, sudah ramai yang telah pun memberikan bunga telur yang tidak langsung ada bunga atau telur.

Kini, sebagai tandahati, tuan rumah memberikan tuala, coklat, gula-gula dan bermacam-macam lagi. Ada yang berikan bedak, kipas, bakul perhiasan mini dan juga lilin. Ada juga yang memberikan kristal. Sebenarnya, tuan rumah mengambil jalan mudah membeli bunga telur yang sudah pun siap dibungkus ataupun bunga telur yang tidak meremehkan. Cuma, apakah ada nilai-nilai tradisi yang terkorban?

Apakah ini bermakna amalan budaya Melayu terhakis dengan berubahnya amalan memberikan bunga telur yang asli kepada tetamu? Pada pandangan saya, tidaklah amalan itu terhakis kerana mungkin hanya pada zahirnya rupanya berbeza tetapi `essence'nya atau intipati atau tujuan memberi bunga telur tetap tercapai iaitu tuan rumah merakamkan rasa penghargaan kepada tetamu yang hadir. Kalau amalan yang baru ini menjimatkan masa, bukankah ianya baik?

Bayangkan berapa banyak ayam yang perlu bertelur untuk majlis pernikahan dan persandingan penyanyi pujaan ramai Siti Nurhaliza nanti? Jemputannya saja hampir 2000 orang. Ini belum lagi termasuk peminatnya yang beribu-ribu tu. Hai pengsan ayam-ayam tu kena bertelur beribu-ribu... Lantas pemilihan bunga telur yang ringkas tentu lebih memudahkan tuan rumah.

Yang penting, dengan bunga telur yang berubah penampilan, masa akan dapat dijimatkan (tak payahlah kita nak merebus telur ayam berkawah-kawah kan?), ianya ringkas dan mungkin tuan rumah dapat memilih bunga telur yang lebih bersesuaian dengan bajet mereka.

Monday, July 17, 2006

Persada Sastera : Sondolan Kecundang


Sondolan Kecundang

Seandainya suami menyondol isterinya,
Pabila isteri mencari kemarahan suami,
Apa akan terjadi?

Seandainya ibu menyondol anak remajanya,
Pabila anak mencari kemarahan ibu,
Apa akan terjadi?

Seandainya anak remaja menyondol kawannya,
Pabila kawannya mencari kemarahan anak remaja,
Apa akan terjadi?

Seandainya guru menyondol muridnya,
Pabila murid mencari kemarahan guru,
Apa akan terjadi?

Seandainya raja menyondol rakyatnya,
Pabila rakyatnya mencari kemarahan raja,
Apa akan terjadi?

Ikutkan rasa, binasa.
Ikutkan nafsu, lesu
Ikutkan hati, mati.

Zidane…Zidane…

Memang sah kau menyondol Materazzi,
Pabila dia mencari kemarahan kau,
Sekarang apa dah jadi?

Jadi apa yang nak diikutkan?
Kalau diri jadi cemuhan?
Kalau diri jadi tohmahan?

Tepuk dada, tanya iman.

(Merenung episod menyondol sewaktu Perlawanan terakhir Piala Dunia 2006)

Bahasa Inggeris atau bahasa Melayu lebih penting? Apakah penguasaan dwibahasa perlu?


Kedua-dua bahasa penting dan kedua-duanya memainkan peranan dalam era globalisasi.

Bahasa Inggeris lebih bersifat kesejagatan. Ianya adalah bahasa untuk kita mengenal dan berinteraksi dengan kaum dan bangsa lain. Demi kemajuan dan perkembangan, memang pengguna bahasa Melayu perlu juga menguasai bahasa Inggeris supaya kita juga dapat cemerlang di dalam bidang-bidang di mana bahasa utama yang digunakan ialah bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu pula adalah ciri penting untuk mencapai perpaduan diantara bangsa dan pengguna bahasa. Ianya juga perlu untuk mengekalkan jati diri bangsa Melayu itu sendiri.

Sama juga seperti bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa yang khusus digunakan oleh bangsa-bangsa tertentu. Ianya memang penting dipelihara untuk memastikan bahawa jati diri sesuatu bangsa itu tidak pupus di telan zaman.

Lalu apakah menguasai kedua-dua bahasa itu penting? Tentu sekali penting, sebab, untuk berjaya dan cemerlang di Singapura ini, dengan hanya menguasai bahasa Melayu tapi lemah dalam bahasa Inggeris pun payah untuk bergerak di dalam arus sosial. Bukan tak boleh berjaya sekiranya hanya menguasai satu bahasa, cuma kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai mungkin terbatas.

Hanya menguasai bahasa Inggeris tapi lemah dalam bahasa Melayu pun mempunyai akibat yang buruk. Bahasa Melayu mendekatkan diri kepada sastera Melayu yang sekaligus memudahkan kita menyingkap budaya Melayu itu sendiri. Ianya juga penting untuk mengekalkan jati diri orang Melayu. Pernah tak awak terbayang orang Inggeris atau orang Amerika yang hendak jadi orang Melayu. Jarang kita dengar sebab mereka bangga dengan identiti mereka. Kita pun harus berbangga dengan identiti kita. Oleh itu kita perlu juga menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Bagi saya, walaupun saya selesa berbahasa Inggeris, namun saya juga senang dan selesa berbahasa Melayu. Saya bangga dengan identiti saya sebagai orang berketurunan Melayu/Bugis/Boyan dan yang penting saya orang Islam. Alhamdulillah.

Saturday, July 15, 2006

Memperkasakan Budaya Cemerlang dalam hidup kita


Mardan Mamat, Shamsul Maidin, Masagos Zulkifli, Dr Mansoor Jalil dan Halimah Yacob adalah diantara masyarakat Melayu Singapura yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Setiap kali saya membaca kisah kejayaan mereka atau pencapaian mereka, bulu roma saya ternaik kerana seperti terangsang untuk sama-sama berjaya dan cemerlang seperti mereka.

Mardan Mamat adalah pemain golf pertama Singapura yang memenangi Singapore Masters yang diiktiraf bukan sahaja di Singapura malah di Eropah juga. Dia bukan sahaja mengharumkan nama bangsa Melayu tetapi dia juga menjadi kebanggaan Singapura.

Shamsul Maidin pula adalah pengadil bolasepak atau referee di mana dia telah dipilih untuk mengadili 3 perlawanan bola semasa Piala Dunia 2006. Dia juga diiktiraf sebagai Pengadil Terunggul atau `Top Referee'Piala Dunia Fifa 2006 oleh soccernet.com. Walaupun pasukan bola Singapura masih jauh dalam menyertai Piala Dunia, Singapura sangat berbangga dengan penyertaan Shamsul Maidin sebagai pengadil.

Masagos Zulkifli pula adalah anak Melayu pertama yang mendapat Honours kelas pertama dalam bidang kejuruteraan ketika di Universiti dulu. Dia telah dijemput PAP untuk menyertai politik sebanyak 3 kali sebelum akhirnya dia setuju. Dialah yang telah mempelopori Mercy Relief yang sangat aktif memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa musibah di merata dunia. Kini dia adalah Setiausaha Politik (Senior) di Kementerian Pendidikan.

Dr Mansoor Jalil pula tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia adalah anak Melayu pertama yang mencapai Degree kelas pertama dalam bidang fizik daripada Universiti Cambridge.

Puan Halimah Yacob pula adalah `Top Unionist' yang pernah memenangi Anugerah Jauhari Berita Harian. Saya amat kagum dengan sumbangannya dalam memajukan masyarakat.

Mereka adalah contoh kecemerlangan dalam masyarakat Melayu Singapura yang sangat memberangsangkan. Sebenarnya ada ramai lagi yang cemerlang.

Marilah kita memperkasakan budaya cemerlang dalam hidup kita. Kalau mereka boleh, Insya Allah, kita pun boleh. Tapi takkan bulan jatuh ke riba. Tak ada kejayaan yang akan dapat dikecapi kecuali dengan

1)kemahuan yang jitu, (di mana ada kemahuan, di situ ada jalan / hendak seribu daya, tak hendak seribu helah)

2)wawasan yang kukuh, (arah / hala tuju / ke mana? / jangan tersesat)

3)perancangan yang teliti dan (Jika kita gagal untuk merancang, kita merancang untuk gagal)

4)kerja keras yang ampuh. (kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya)

Allah juga ada berpesan supaya kita berlumba-luba mencapai kejayaan seperti firmannya di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah : 148, yang bermaksud :

Berlumba-lumbalah kamu dalam (melakukan) kebaikan.

Wednesday, July 12, 2006

Engkau atau Aku, Awak atau Saya, Lu atau Gua


Cikgu Rohaya di sekolah dulu ada menyebut tentang kegunaan Kata Ganti Diri yang sesuai digunakan. Dia ada membaca karangan kawan sedarjah saya dan menekankan bahawa kita perlu konsisten dalam satu-satu penulisan itu.

Sekiranya kita gunakan `saya' dan `awak' untuk sesebuah karangan, maka keseluruhan karangan itu, haruslah kita gunakan `saya' dan `awak'. Cuma jika perlu, dalam dialog misalnya, kita mungkin ingin menggunakan `aku' atau `engkau'. Janganlah kita gunakan `saya', `engkau', `awak' dan `aku' berselang-seli kerana seperti tak kena dan tak sesuai kekata-kekata itu di campur adukkan kegunaanya.

`Engkau' dan `Aku' sesuai digunakan di dalam puisi dan dalam komunikasi yang tidak formal. Ada di antara pengguna bahasa Melayu yang berpendapat bahawa `engkau' dan `aku' kasar bunyinya. Namun, di antara adik beradik, di antara lelaki dengan lelaki dan mungkin kawan-kawan yang akrab misalnya, mereka lebih selesa berkomunikasi menggunakan `aku' dan `engkau'. Ianya tidak bermakna bahawa mereka tidak hormat di antara satu sama lain. Ianya tidak bermakna bahawa mereka bertujuan berkasar dengan satu sama lain. Isi komunikasi mereka juga akan menentukan kesesuaian kegunaan kekata-kekata tersebut.

`Saya' dan `awak' memang sedap bunyinya apabila digunakan. Ianya lembut dan sesuai digunakan di dalam komunikasi yang lebih formal dan situasi yang terjaga. Kebelakangan ini, ada filem-filem terbitan Malaysia seperti `7 perhentian' yang pelakonnya menggunakan `awak' dan `saya', di mana sesuai. Sedap di dengar dan bersesuaian dengan jalan cerita.

Cuma `Lu' `gua' memang kasar bunyinya. Jarang pengguna bahasa Melayu menggunakan kekata tersebut kecuali mereka yang berketurunan Cina dan mungkin mereka yang menganggap kegunaannya itu kool. Namun, ianya tidak digalakkan digunakan dalam penulisan kecuali sekiranya penulis ingin mencapai sesuatu kesan tertentu seperti ingin mengenengahkan watak yang kasar umpamanya.

Awak senang dengan Kata Ganti diri yang mana satu?

Tuesday, July 11, 2006

Peranan bahasa di dalam saat-saat akhir Piala Dunia

Gambar dari AlArab online
Saya tak tahu. Saya rasa saat ini pun ramai yang belum tahu kenapa Zidane meradang sehingga menandukkan kepalanya ke dada pemain Italy, Marco Materazzi, di dalam perlawanan terakhir Piala Dunia yang baru berlalu pada pagi Isnin lalu.

Memang kemenangan Italy menjulang Piala Dunia menjadi perhatian dunia. Namun, kejadian tandukan dada oleh Zidane itu juga tidak kurang mendapat perhatian dunia. Sayang, kegemilangan Zidane berakhir dengan titik hitam itu. Sayang, setelah dia dilayangkan kad merah itu menandakan persaraannya daripada arena bolasepak professional.

Ada laporan mengatakan bahawa Materazzi telah mencemuh dan melontarkan tohmahan demi tohmahan terhadap pemain berketurunan Algeria itu. Ada kemungkinan dia telah memanggilnya dengan gelaran `Terrorist', dan mungkin juga dia telah mencaci kakak Zidane dengan panggilan-panggilan kesat seperti pelacur dan sebagainya. Namun kedua-kedua pemain yang terlibat enggan mengulas.

Yang pasti, di sini, bahasa memainkan peranan dalam menaikkan kemarahan, sekaligus, menjatuhkan reputasi seorang pemain handalan, yang kecemerlangannya tidak diragui lagi. Menerusi peluru bahasa, dapat kelihatan kelemahan seseorang itu apabila dia tidak dapat menahan kemarahannya dengan perisai kesabaran.Kita dapat lihat bagaimana dengan cemuhan dan tohmahan, mangsa kata-kata kesat itu boleh buat apa sahaja, sehinggakan dia tidak malu untuk membalas dendam di depan 1.5 billion penonton seluruh dunia.

Mungkin, wartawan dan mereka yang mengundi Zidane untuk mendapat Bola Emas Fifa sebagai Pemain Terbaik akan menyesal membuat undian itu setelah menonton semula ulang-tayang kejadian menyondol dada itu.

Mungkin kita kata pada diri sendiri : Mesti sabar. Bawa bertenang sebab itulah yang sewajarnya dan yang sepatutnya dilakukan.

Tetapi, kita tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Walau apapun, memang betul, sebaik-baiknya, Zidane tidak sepatutnya membuat begitu. Kalau ditikam dengan lidah, jangan lawan balik dengan kepala, lawan balik dengan lidah! (Ai? Gelinya bunyinya...Lepas tu suruh orang bertengkar pula) Sebaik-baiknya buat bodoh, berdiam diri atau katakan sesuatu yang tajam dan pintar. Tapi, kalau dah dasar mulut orang, mana boleh ditutup? Jangan dilayan orang yang cakap bukan-bukan.

Kalau orang panggil awak `Terrorist', atau mencemuh kakak awak dengan kata-kata kesat, apa akan awak lakukan?
a)senyum
b)menjelirkan lidah
c)sepak dan terajang
d)gunakan kreativiti

Friday, July 07, 2006

Dunia politik Melayu bergegar!

Saya bukanlah pencinta politik, pengamat politik atau pemerhati politik yang setia. Saya juga bukan pelajar Political Science ketika di NUS dulu. Saya adalah seorang Melayu yang dapat merasai gegaran dunia politik di Malaysia.

Kehangatan kritikan-kritikan Dr Mahathir (Dr M) terhadap penggantinya, PM Abdullah Badawi (Pak Lah) masih belum berakhir. Ketegangan masih dapat dirasai diantara Dr M dan pemerintahan Pak Lah.

Sekarang pulak, dunia digegarkan dengan satu berita baru dan yang sangat hangat diperkatakan. Dr M telah didakwa mempunyai kaitan dengan skandal kewangan yang melibatkan jutaan ringgit, iaitu duit rakyat Malaysia. Beliau dan Tun Daim Zainuddin telah didakwa memaksa Encik Tajudin Ramli, seorang taikoon ternama, untuk memeli saham MAS, pada tahun 1994, untuk membantu negara daripada kerugian kewangan.

Saya rasa, seseorang ketua negara perlulah berbincang dengan menteri-menteri kabinet yang lain apabila sesebuah keputusan melibatkan jutaan ringgit. Kabinet perlu tahu. Dan rakyat juga perlu tahu sebab duit yang digunakan adalah duit rakyat. Bukan duit mereka sendiri.

Pelik. Mendebarkan. Memeranjatkan.

Apa yang berlaku, sekiranya benar, tentu akan menjejas teruk reputasi Dr M, yang hanya boleh dipulihkan sekiranya penjelasannya kelak dapat diterima oleh masyarakat Malaysia khasnya dan masyarakat dunia umumnya.

Tuesday, July 04, 2006

Menuju kecemerlangan, namun kita semua berbeza


Masih lagi terngiang-ngiang di benak apabila seorang saudara menanyakan apa anak saya dah pandai lakukan. Dia kata dia ada menonton di ChannelnewsAsia, di mana seorang anak 3 tahun sudahpun pandai membuat Ilmu Hisab untuk Darjah Satu. Dia meneruskan memuji-muji anak yang dipaparkan di TV tu. Anak itu pandailah, tak berlari-larilah dan macam-macam lagi. Lalu dia seperti menyindir, `Abdullah dah pandai apa?'.

Saya tersentak. Abdullah dah pandai apa? Abdullah mungkin belum boleh buat Ilmu Hisab Darjah Satu, tapi saya rasa ada perkara yang dia boleh buat yang mungkin budak di Channelnewasia tu tak boleh buat seperti membaca Al-Fatihah dan Al-Ikhlas walaupun dia belum pergi ke kelas Quran formal. Dia tahu banyak lagi tapi tentu ada batasannya. Sedangkan orang berumur 30 tahun belum tentu tahu tentang apa itu Stegasaurus. Sedangkan orang berumur 60 tahun belum tentu tahu mengeja `One to Ten'. Sedangkan budak berusia 16 tahun belum tentu tahu apa beza `Pelican' dengan haiwan lain.

Tak perlu saya catatkan apa yang Abdullah tahu kerana ilmu Allah itu luas. Tentu sekali ada perkara yang dia tahu dan ada perkara yang dia tak tahu. Setiap anak berkembang dengan tahap yang berbeza-beza. Begitu juga dengan manusia secara keseluruhannya.

Kecemerlangan bukan milik orang tertentu sahaja. Sesiapa pun boleh berjaya. Sesiapa pun boleh cemerlang. Piala Dunia yang lalu Brazil cemerlang dan menang. Piala Dunia kali ini, mereka telah pun tersingkir sebelum peringkat separuh akhir. Namun apakah Brazil tidak bagus?

Perjuangan mencapai kecemerlangan itu panjang. Hari ini mungkin kita di atas, besok belum tahu lagi. Namun kita harus terus positif dan berusaha.

Pada saya, kadangkala, apa yang orang lain kata boleh menjatuhkan dan menyakitkan. Tapi saya tak nak perkara itu berlaku. Kita tak boleh asyik dihantui oleh kata-kata orang yang tidak tahu kasi perangsang. Kita mesti terus melangkah....

Yang baik di jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. Walau setiap anak berbeza, saya tetap akan teruskan perjuangan mencapai kecemerlangan untuk diri sendiri, anak-anak dan keluarga, demi mencapai keredhaan Tuhan. Insya Allah.

Saturday, July 01, 2006

Selamat Hari Lahir, Shikin!

Hari ini, 1 haribulan Julai adalah hari istimewa. Teman sekolahku yang berada di London telah di lahirkan tepat 34 tahun yang lalu. Teringat lagi sewaktu di sekolah dulu. Shikin pernah meluangkan masa selepas sekolah untuk menerangkan pelajaran tentang `Cells' yang aku tak faham-faham. Shikin tak pernah berkira tentang mengorbankan masa dan tenaga jika diperlukan. Dia sering berkata `Boleh!' Dia mempunyai pespektif hidup yang sangat positif dan sangat aku kagumi.

Tentang ke London pun, walaupun menerokai sesuatu yang baru, dia tetap dengan sikapnya yang sering mahu cuba.

Selamat Hari Lahir Shikin! Semoga Tuhan sentiasa melindungimu, memberi hidayah dan taufiknya dan mengurniakan rahmah dan kebahagiaan dunia dan akhirat padamu dan keluarga. Amin.